Bayi kalau tidak menangis memang
sesuatu yang pelik. Tapi jika banyak sangat menangis, tanpa henti pula, memang
memeningkan kepala. Bersama ini ada maklumat mengapa bayi menangis
dan cara menanganinya.
Selepas sahaja dilahirkan, perkara
pertama yang lazimnya dilakukan oleh bayi ialah menangis. Sebabnya, kurang
pasti. Mungkin terkejut dengan perubahan sekeliling yang terlalu asing buat
mereka atau mungkin juga sebagai ucapan terima kasih kepada ibu yang sanggup
mengendongnya selama 40 minggu dan seterusnya melahirkan. Apa pun alasannya,
hanya dia dan penciptanya yang tahu.
Kenapa bayi menangis
Sebenarnya, menangis merupakan cara
bayi berkomunikasi dengan orang-orang di sekelilingnya sebelum dia tahu
bercakap. Bagi ibu bapa baru, tangisan bayi dikatakan serupa sahaja. Akibatnya
mereka rasa keliru dan tidak tahu apa yang diingini oleh anak. Tapi lama
kelamaan, setelah berbulan-bulan bersama anak, tangisan tersebut mula dapat
dibezakan. Dan anda tentunya tidak lagi panik.
Untuk pengetahuan papa semua, kalau
anak anda menangis, ada beberapa makna. Antaranya ialah:
- Sebab basah
- Sebab lapar
- Perlukan perhatian
- Rimas akibat terlalu banyak perhatian
- Sakit
- Penat
- Sudah terjaga daripada tidur
- Rasa tidak selesa
Apakah yang perlu papa lakukan?
Pakar pediatrik dan papa-papa
berpengalaman ada beberapa panduan untuk anda agar tenang berhadapan dengan
bayi yang menangis.
- Bertindak segera
Anda perlulah cepat memberikan
tindak balas terhadap tangisan anak. Jika anda dapati anak mula hendak
menangis, angkat dia dan dukunglah dengan penuh kasih sayang. Bercakaplah
padanya dengan suara yang lembut. Sebaiknya, jangan biarkan dia mula menangis
kerana bimbang lambat berhenti.
- Rapat
Jika anak sudah menangis, bawa bayi
rapat ke muka anda sebab jika dia buka matanya, dia akan nampak anda. Hasilnya,
dia akan rasa tenang dan seterusnya berhenti menangis kerana tahu anda berada
dekat dengannya.
- Periksa sekeliling anak
Periksa sama ada anda perlu salinkan
lampinnya atau pun tidak? Semasa menukar lampin tersebut, periksa juga kulit
bayi anda untuk melihat adakah kulitnya ada ruam lampin ataupun tidak? Ruam
lampin lazimnya membuatkan anak rasa tidak selesa terutamanya ketika basah
lebih-lebih apabila terkena air kencingnya.
- Haus
Lihat jam, sekiranya sudah tiba masa
untuk anak minum, berikan dia susu kerana dia mungkin haus.
- Periksa suhu badan anak
Sekiranya anak sejuk, selimutkanlah
dia dan jika dia panas, tukarkan pakaiannya kepada yang lebih nipis agar anak
lebih selesa.
- Bawa anak berjalan-jalan
Ramai bayi akan berhenti menangis
jika dibawa berjalan-jalan atau paling tidak pun mendodoikannya. Cubalah
lakukan cara ini. Mudah-mudahan anak anda akan rasa lebih tenang dan berhenti
menangis.
- Gunakan bunyi-bunyian
Anda tentu tahu bahawa pada
trimester ketiga kehamilan, bayi boleh sudah boleh mendengar apa-apa sahaja
yang berlaku di luar kandungan ibunya. Oleh yang demikian, cubalah memainkan
bunyi-bunyian yang anda rasa boleh memenangkan bayi seperti bunyi kipas angin,
bunyi mencari frekuensi radio atau sebagainya.
- Jangan goncang bayi anda
Tidak dinafikan bahawa ada di
kalangan ibu bapa rasa tertekan setiap kali anak mereka menangis. Akibatnya
mereka akan menggoncang-goncang bayi tersebut dengan harapan dia akan berhenti
menangis. Ketahuilah bahawa tindakan tersebut sangat bahaya kerana boleh
mencederakan. Goncangan yang kuat boleh menyebabkan kerosakan pada otak bayi,
kecederaan tulang belakang dan kematian.
- Bawa anak ke tempat lain
Anda tentu tidak terfikir yang anak
anda menangis ialah kerana bosan. Bosan dengan persekitarannya. Oleh itu,
bawalah anda bersiar-siar melihat kawasan sekitar yang lebih berwarna-warni dan
menyegarkan.
- Periksa keadaannya
Jika anak anda menangis seperti
berada dalam kesakitan, perhatikan pada tubuhnya, mungkin dia digigit semut
atau serangga lain. Mungkin juga anak anda menangis kerana kolik. Bayi yang
mengalami kolik lazimnya akan menangis dengan kuat untuk satu jangka masa yang
panjang, mukanya akan berubah menjadi kemerah-merahan, perutnya kelihatan tegang,
menangis sambil menarik-narik kaki, dan mengepalkan tangannya. Jika berhadapan
dengan masalah ini, anda perlulah membantu meringankan kesakitan anak dengan
mendukung dan mendodoinya secara perlahan-lahan. Pada masa yang sama, usaplah
punggung dan perutnya secara lembut. Sekiranya tangisan berterusan, bawalah
anak berjumpa doktor kerana mungkin ada masalah lain.
Berhadapan dengan bayi yang
menangis benar-benar menguji kesabaran. Sebagai papa, anda mestilah
banyak-banyak bersabar, bertenang dan bertindak mengikut suara hati. Bukan
mengikut perasaan.
No comments:
Post a Comment